Saturday 15 March 2014

PM Belum Sahkan MH370 Dirampas, Tetapi Sistem Perhubungan Telah Dimatikan Dengan Sengaja

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib (dua dari kanan) bersama pemangku Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman (kanan) pada sidang media di Hotel Sama-Sama, KLIA, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 15 Mac, 2014.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib (dua dari kanan) bersama pemangku Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman (kanan) pada sidang media di Hotel Sama-Sama, KLIA, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 15 Mac, 2014.




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengesahkan laporan media berhubung pesawat MH370 dirampas dan pencarian pesawat ini sedang memasuki fasa baru ke arah dua koridor baru di utara Malaysia dan satu lagi di selatan negara ini.

Koridor utara adalah menuju ke Turkmenistan, Kazakhstan serta utara Thailand manakala koridor selatan ialah di Indonesia dan selatan Lautan Hindi.

Perdana menteri berkata demikian pada sidang medianya sebentar tadi.

Pada sidang media itu, Najib yang membaca teks tanpa menerima sebarang soalan media, berkata Malaysia akan terus meningkatkan usaha mencari dan berharap maklumat baru yang diperolehi akan membawa kepada satu langkah mendekati penemuan pesawat itu.

Najib berkata, komunikasi terakhir MH370 dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu tempatan Sabtu lalu (hari kehilangan pesawat) di Selat Melaka.

Katanya, penyiasatan menunjukkan pergerakan penumpang kapal terbang itu dan hubungan telekomunikasi dibuat dengan sengaja namun beliau menolak ia satu rampasan.

Najib berkata, berdasarkan data daripada radar yang dikesan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kerajaan mengesahkan pesawat yang ditunjukkan dalam data asal adalah MH370.

Katanya, aa diperolehi berdasarkan kerja forensik yang dibuat oleh FAA, NTSB, AAIB dan pihak berkuasa Malaysia yang bekerja secara berasingan ke atas data yang sama.

"Berdasarkan data baru itu, kali terkahir komunikasi disahkan antara pesawat dengan satelit adalah pada 8.11 pagi waktu Malaysia hari Sabtu, 8 Mac," katanya.

Beliau berkata, pasukan penyiasat kemudian membuat pengiraan yang akan menentukan sejauh mana pesawat itu boleh terbang selepas perhubungan terakhir itu dan ia akan membantu kita membuat pencarian.

Katanya, berdasarkan jenis data satelit yang ada, ia bagaimanapun tidak boleh mengesahkan tempat pesawat itu membuat hubungan terakhir dengan satelit.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan data baru ini, pihak berkuasa penerbangan Malaysia dan rakan-rakan antarabangsanya percaya kapal terbang itu boleh berada di dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Tukministan dan utara Thailand atau koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Najib berkata, berdasarkan perkembangan terkini ini, pihak berkuasa Malaysia memfokuskan penyiasatan mereka ke atas anak kapal dan penumpang.

"Walaupun ada laporan media yang mengatakan pesawat ini dirampas, saya ingin jelaskan kami masih menyiasat semua kemungkinan yang menyebabkan MH370 menyimpang dari laluan asalnya," katanya.

Katanya, data baru daripada satelit itu mempunyai kesan besar ke atas bentuk dan bidang operasi pencarian.

"Kami menghentikan pencarian di Laut China Selatan dan menilai semula penempatan aset kita," katanya.


LAPURAN AP SEMALAM

AP melaporkan kerajaan Malaysia mengesahkan pesawat MH370 yang hilang sejak minggu lalu dirampas. Gambar fail oleh Reuters, 15 Mac, 2014.

Pesawat Malaysia Airlines MH370 dirampas, 
menurut laporan agensi AP semalam

AP melaporkan semalam seorang jurucakap kerajaan Malaysia berkata, rampasan itu bukan setakat teori lagi tetapi ia mencapai tahap 'konklusif'.

Pegawai berkenaan yang berada dalam pasukan penyiasatan itu, berkata mereka mendapati salah seorang juruterbang atau orang lain yang berpengalaman terbang merampas pesawat yang hilang sejak Sabtu minggu lalu.

Bagaimanapun, setakat ini, motifnya belum diketahui dan lokasi di mana pesawat itu berada belum diketahui dengan jelas.

Sementara itu, AFP memetik seorang pegawai kanan tentera Malaysia sebagai berkata, penyiasat percaya pesawat itu dirampas dan dipandu oleh seorang yang "mahir, cekap" yang memandunya beberapa jam.

"Ia mesti seorang yang mahir, cekap dan seorang juruterbang semasa," kata pegawai itu.

"Dia tahu bagaimana untuk mengelakkan radar awam. Dia nampaknya sudah mengkaji bagaimana untuk mengelakkan radar,” katanya.

Bagaimanapun, akhbar British The Daily Telegraph melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, menafikan pesawat itu dirampas.

"Ia belum sah. Saya mengetuai siasatan ini dan tiada siapa yang mengatakannya. Ia tidak benar. Kami meninjau pelbagai kemungkinan, kita melihat semua kemungkinan. Kami melakukan profil setiap penumpang dan anak kapal tetapi tidak ada bukti yang sahih setakat ini," katanya kepada Telegraph.

Perkembangan baru mengejutkan ini datang selepas seminggu operasi mencari dan menyelamat besar-besaran kehilangan kapal terbang yang membawa 239 penumpang itu selepas ia meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing.

Sementara itu, Bloomberg melaporkan pesawat yang hilang itu dikesan ke Lautan Hindi di luar pantai Australia, memetik kenyataan seorang penganalisis.

Menurut laporan itu, laluan dari Malaysia ke laut di luar pantai Australia akan melalui perjalanan sejauh 3,000 batu - jarak maksimum MH370 boleh diterbangkan dengan bahan api yang ada.

Bloomberg juga melaporkan penyiasat mendapati seseorang di dalam kokpit MH370 memprogramkan pesawat itu untuk berpaling dari jalan asalnya ke Beijing, kata sumber daripada kerajaan Amerika Syarikat yang biasa dengan penyiasatan itu.

Laporan itu memetik jurucakap Awam Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Australia, Peter Gibson, sebagai berkata dia tidak sedar maklumat baru yang meletakkan MH370 berhampiran Perth.

Bagaimanapun, katanya, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia mempunyai bidang kuasa untuk membuat penggeledahan jika maklumat itu benar.

Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar dijangka diadakan pada jam 1.30 petang ni di Hotel Sama-Sama, KLIA selepas mengadakan pertemuan dengan keluarga penumpang pesawat MH370.

Difahamkan, Najib hanya akan membacakan satu kenyataan dan tidak akan menjawab sebarang soalan daripada media, lapor Sinar Harian Online.

The Star Online melaporkan, sebahagian ahli keluarga di Hotel The Everly Putrajaya mula berkumpul di depan dua televisyen di lobi hotel dan kelihatan gelisah tetapi kebanyakannya masih mampu mengawal perasaan. – 15 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment