Monday, 21 October 2013

KEPUTUSAN PENUH NAIB PRESIDEN DAN AHLI MAJLIS TERTINGGI UMNO DI DALAM


Segalanya sudah beres. Apa sekalipun orang nak kata tiada siapa boleh nafikan UMNO melangkah jauh ke depan setelah berjaya mengendalikan pemilihan parti yang beri kuasa mengundi kepada 146,000 orang.

Melihat pada pemilihan PKR lalu yang diwarnai oleh segala macam cacamarba dan isu pemilihan DAP yang heboh baru-baru ini...nyata ia bukan senang untuk mengurus satu pemilihan.

Cakap siapa pun boleh cakap. Realitinya boleh jadi lain cerita.

Kini semua debaran dan teka teki sudah berlalu .Apapun selamat berkhidmat kepada pemimpin UMNO yang baru dipilih semula untuk menerajui parti untuk penggal baru ini.

Berbagai andaian dibuat terhadap cita rasa 146,000 perwakilan UMNO kali ini.

Teropong punya teropong nampak jelas mereka mahukan kesimbungan kepimpinan parti yang utuh untuk mengharungi hari-hari menghadapi pilihanraya umum ke 14 nanti.

Memang betul tidak ada banyak perubahan pada barisan pimpinan utama.

Ini adalah kehendak perwakilan sendiri maka keputusan mereka harus dihormati walaupun kalangan yang kalah merasa agak pahit untuk menelannya.

Dari jawatan utama, Pengerusi Tetap, timbalannya, Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda adalah orang yang sama dipilih pada penggal lalu - ketika kali pertama Datuk Seri Najib Razak menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Puteri berubah wajah kerana penyandang Datuk Rosnah Abdul Rahman melepaskan jawatan tersebut kepada muka baru.Jawatan itu dimenangi oleh Ahli Parlimen.Jawatan itu dimenangi Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Shamsudin.

Rosnah kini merupakan Exco Wanita UMNO yang dipilih selain Ahli Majlis Tertinggi parti yang baru.

"Isyaratnya jelas, di peringkat tertinggi parti, perwakilan mahu regu yang sama, yang membawa parti kembali memerintah negara selepas 'ibu segala PRU' Mei lalu," kata Datuk Sohaimi Shahadan.

Beliau sendiri, sipi-sipi, apabila berada di kedudukan ke 25 dari 62 calon yang bertanding jawatan tersebut. Beliau memperolehi 90 undi dari 191 bahagian seluruh negara.

Jika melihat senarai MT yang diumumkan petang Ahad, jawatan, pengalaman dan nama besar merupakan foktor yang mempengaruhi perwakilan menentukan 25 ahli Majlis Tertinggi.

Dari senarai 25 yang dipilih, hanya dua orang sahaja yang tidak berjawatan ADUN mahupun Ahli Parlimen, iaitu Sohaimi sendiri, dan Dr. Mohd. Puad Zakarshi.

Sohaimi dari Selangor tidak bertanding sebarang kerusi dalam PRU13 lalu bagaimanapun kredibilitinya sebagai pemimpin diasas di peringkat Pergerakan Pemuda di mana beliau merupakan Pengerusi Biro Ekonomi dalam Exco pergerakan itu.

Beliau adalah satu dari empat nama yang mendapat endorsement Pemuda UMNO selain Datuk Razali Ibrahim (157), Datuk Reezal Merican Naina Merican (97).

Hanya seorang calon Pemuda, Tun Faisal Ismail Aziz gagal tersenarai dalam pemilihan 25 tempat MT kali ini.

Manakala Mohd Puad Zakarshi, penyandang MT penggal lalu, disebut-sebut pemimpin haluan kanan dalam parti.

Beliau lantang membela Melayu-Islam, sungguhpun gagal mempertahankan kerusi Parlimen Batu Pahat yang dimenanginya pada PRU12, namun perwakilan tetap memberikan kepercayaan kepadanya.

Sepuluh dari sebelas calon untuk kouta Menteri Penuh, Menteri Besar atau Ketua Menteri menang bergaya dalam pemilihan ini.

Tempat pertama kekal milik Datuk Seri Mustapa Mohamed, dua kali berturut-turut Menteri MITI ini 'strike'. Tempat kedua dengan jumlah undi sama, 186 adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau bertanggungjawab hal ehwal agama Islam, tidak berkempen kerana 'naik haji'.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (185), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob (184), Datuk Seri Idris Jusoh (184).

Selain itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (181), Datuk Abdul Rahman Dahlan (181) Datuk Hasan Malek (168), Datuk Seri Shahidan Kassim (166) dan Datuk Seri Mohamad Hasan (165)

Dari sebelas Menteri Penuh, Menteri Besar dan Ketua Menteri yang bertanding hanya seorang tidak dipilih, iaitu MB Perlis Azlan Man.

Azlan sebelum ini merupakan seorang pegawai tinggi kerajaan, bertanding DUN sebelum diangkat menjadi MB Perlis secara tiba-tiba selepas PRU13 lalu.

Beliau masih baru dan tidak memegang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis sungguhpun menjadi Menteri Besar, dalam kata lain, "belum teruji".

Turut menarik perhatian adalah lapan ahli parlimen tanpa jawatan kerajaan, atau anggota Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Malaysia (BNBBC) berjaya mendapat tempat kali ini.

Didahului Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim 181 berada di kedudukan ke tujuh, beliau merupakan penyandang, terkenal dengan kerja-kerja kemanusiaan,dan adalah 'kaki pukul' BNBBC yang baru di Dewan Rakyat.

Walaupun tanpa jawatan menteri, kemenangan Azeez membuktikan bahawa ahli UMNO mahu akar umbi yang melayani dan menunjukkan kesungguhan untuk berkhidmat walaupun tanpa jawatan dalam pentadbiran.

Selain Azeez, ada tujuh lagi ahli BNBBC yang tersenarai dalam 25 ahli MT. Mereka adalah Datuk Seri.Mohd Jamaluddin Jarjis (161), Tan Sri Annuar Musa (143).

Datuk Seri Azlina Othman (119), Datuk Abdul Latiff Ahmad (115) Datuk Shamsul Anuar Nasarah (111), Datuk Bung Mokhtar Radin (104), dan Datuk Reezal Merican Naina Merican (97).

Ini menarik kerana lapan ahli BNBBC itu membuktikan perwakilan UMNO mahu gandingan mereka yang memegang jawatan dalam pentadbiran dan luar pentadbiran bersama-sama dalam majlis perundingan tertinggi parti.

Selain itu ada lima timbalan menteri itu, Razali, Datuk Mahdzir Khalid (155), Datuk Rosnah Rashid Shirlin (146), Datuk Tajuddin Abdul Rahman (127), dan Datuk Ab. Aziz Kaprawi (101). Calon Timbalan Menteri yang kalah adalah Datuk Halimah Mohd Sadique.

Beliau merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Timbalan kepada Rahman Dahlan.

MT kali ini juga memperlihatkan dari 25 tempat, ada dua saja untuk wanita iaitu, Azalina dan Rosnah, kedua-duanya pernah memegang jawatan Ketua Puteri UMNO.

Beberapa lagi calon yang berasal dari Pergerakan Wanita seperti seperti Datuk Hamidah Osman, Datuk Raja Ropiah, Datuk Dr Norraesah Mohamad gagal tersenarai.

Norraesah yang merupakan pakar ekonomi, sebelum ini merupakan penyandang, beliau menyertai seorang lagi penyandang yang tewas iaitu Datuk Saifuddin Abdullah.-20/10/2013 OLEH HELME HANAFI DAN LUKMAN ABDULLAH


Berikut keputusan rasmi jumlah undi yang diterima enam calon Naib Presiden Umno yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti Tan Sri Tajol Rosli Ghazali di Menara Dato' Onn, PWTC petang Ahad.

1. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi: 188 undi   (94,562 undi perwakilan)

2. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal: 177 undi       (82,252 undi perwakilan)

3. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein: 101      undi (56,604 undi perwakilan)

4. Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir: 93 undi       (57,189 undi perwakilan)

5. Datuk Seri Mohd Ali Rustam: 7 undi (15,294    undi perwakilan)

6. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad: 7 undi         (12,783 undi perwakilan)

Berikut adalah senarai penuh 25 ahli MT untuk penggal 2013-2016


1. Datuk Seri Mustapa Mohamed 186 (89,560)
2. Datuk Seri Jamil Khir Baharom 186 (89,222)
3. Datuk Seri Idris Haron 185 (83,379)
4. Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob 184 (89,519)
5. Datuk Seri Idris Jusoh 184 (86,204)
6. Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek 181 (85,820)
7. Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim 181 (79,798)
8. Datuk Abdul Rahman Dahlan 181 (76,031)
9. Datuk Hasan Malek 168 (68,601)
10. Datuk Seri Shahidan Kassim 166 (76,992)
11. Datuk Seri Mohamad Hasan 165 (73,631)
12. Datuk Seri.Mohd Jamaluddin Jarjis 161         (72,326)
13. Datuk Razali Ibrahim 157 (73,060)
14. Datuk Mahdzir Khalid 155 (68,964)
15. Datuk Rosnah Rashid Shirlin 146 (69,802)
16. Tan Sri Annuar Musa 143 (69,529)
17. Dr. Mohd. Puad zakarshi 127 (57,124)
18. Datuk Tajuddin Abdul Rahman 127 (56,434)
19. Datuk Seri Azlina Othman 119 (55,501)
20. Datuk Abdul Latiff Ahmad 115 (52,225)
21. Datuk Shamsul Anuar Nasarah 111 (51,366)
22. Datuk Bung Mokhtar Radin 104 (52,423)
23. Datuk Ab. Aziz Kaprawi 101 (48,463)
24. Datuk Reezal Merican Naina Merican 97        (48,353)
25. Datuk Sohaimi Shahadan 90 (47,479)

No comments:

Post a Comment