Thursday, 18 July 2013

Mangsa Pukau Pekerja Kontrak Indon Berjaya Diselamatkan Suami


SEPANG 17 Julai - Selepas hampir sebulan dipukau dan dilarikan empat warga Indonesia ke Surabaya, Jawa Timur, Nur Idayu Abd. Aziz akhirnya selamat pulang ke pangkuan keluarganya dengan bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1 M).

Kisah ibu kepada tiga orang anak berusia 34 tahun ini menarik perhatian pelbagai pihak apabila suaminya, Mohd. Riduan Abd. Razak mendakwa isterinya dilarikan ke Indonesia oleh pekerja kontrak yang pernah diupah membuat pengubahsuaian rumah mentuanya di Felda Bukit Sagu 2, Kuantan.

Mangsa yang hilang sejak 22 Jun lalu berjaya dikesan minggu lalu hasil maklumat pelbagai pihak selepas disembunyikan di sebuah rumah di kawasan pedalaman, Rambipuji yang terletak di daerah Jember kira-kira enam jam perjalanan dari Surabaya.


Menurut Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, mangsa selamat dibawa pulang selepas pihaknya menghantar pasukan yang diketuai Setiausaha Agung, Abdul Khalid Chairul dan Mohd. Riduan, 34, ke sana sejak seminggu lalu.

"Ketika kami jumpa dia keadaannya seperti tidak sedarkan diri malah langsung tidak mengenali suaminya dan kita mengambil masa tiga hari untuk mengubati dia dengan menggunakan kaedah rawatan Islam.

"Sekarang keadaannya bertambah baik biar pun tidak pulih sepenuhnya, kita dimaklumkan dia terkena ilmu sihir yang dilakukan oleh penculiknya," katanya ketika menyambut kepulangan Pasukan Misi KP1M dan pasangan itu dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail.

Menurut Abdul Azeez, usaha tersebut merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu Nur Idayu dibawa pulang dengan selamat ke pangkuan keluarganya.

Beliau sehubungan itu menasihati semua pihak terutama isteri yang suaminya bekerja jauh agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan pujuk rayu orang luar.

Katanya, kes tersebut antara contoh pekerja asing sanggup berbuat apa sahaja untuk melarikan anak gadis atau isteri orang sekiranya terleka.

"Saya juga mohon pihak polis supaya menyiasat kes ini sebaik Nur Idayu sembuh supaya dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya jangan larikan isteri orang dan ini tidak baik untuk institusi keluarga," katanya.

Sementara itu, Mohd. Riduan ketika ditemui mengucap ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan isterinya.

Katanya, dia tidak mempunyai sebarang perancangan buat masa ini dan hanya mahu berehat dan mengubati isterinya sehingga sembuh.

"Saya hanya mahu pulang dan berjumpa dengan anak-anak di kampung dan mencari kerja di Malaysia selepas terpaksa berhenti kerja di Qatar baru-baru ini," katanya.

Sementara itu di KUANTAN, kepulangan Nur Idayu di rumah bapanya di Felda Bukit Sagu 2 disambut pilu dan tangisan oleh ahli keluarga wanita tersebut terutama oleh tiga anaknya.

Nur Idayu dan suaminya tiba di rumah bapanya itu kira-kira pukul 6.15 petang hari ini namun enggan memberikan sebarang komen.-Utusan Online

Baca Artikel Menarik dibawah:

No comments:

Post a Comment