Friday 20 September 2013

Ketua Syiah Buat Laporan Polis, Cabar Institusi Raja


Tindakan Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan membuat laporan polis terhadap Mufti Negeri, Datuk Syeikh Baderudin Ahmad, Ahad lalu boleh dianggap sebagai mencabar institusi Raja-Raja Melayu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar).

Beliau berkata, ini kerana mufti negeri dilantik oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga ketua agama Islam negeri (dan juga Yang di-Pertuan Agong).

"Tindakan ketua Syiah itu langsung tidak hormat kepada fatwa mufti kerajaan negeri, perlembagaan dan perundangan Islam negeri ini sekali gus mereka mencabar kedudukan Sultan," katanya kepada pemberita ketika ditemui bersarapan pagi bersama penduduk Kampung Dato Abdullah, Sungai Limau, hari ini.

Jamil Khir berkata, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap ketua Syiah itu dan pengikutnya yang cuba melakukan provokasi.

Katanya, beliau akan bertemu dengan penguatkuasa Majlis Agama Islam dan peguam syariah Rabu ini di ibu negara bagi membincangkan cara menangani fahaman Syiah dan tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka menerusi undang-undang Islam di negeri-negeri.

Mengenai ugutan ketua Syiah itu mahu menerbitkan buku mengenai fahaman Syiah setebal 500 muka surat sekiranya dia atau pengikutnya ditahan pihak berkuasa, Jamil Khir berkata, Majlis Agama Islam mempunyai kuasa untuk menghalangnya.

Laporan polis terhadap Syeikh Baderudin yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar mendakwa mufti itu secara sengaja mempersembah kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa kewujudan masyarakat minoriti Syiah Immamiah Ja'afariah di Kedah menyebabkan suasana masyarakat di negeri ini tidak tenteram. - Bernama, 20 September, 2013

No comments:

Post a Comment