Friday 1 March 2013

Dua Komando Polis Malaysia Terbunuh Akibat Letupan Mortar Penceroboh Di Lahad Datu




Dua komando polis terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina hari ini.

Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.

Wartawan Bernama yang berada di kawasan Felda Sahabat 17 di perkampungan itu berkata mayat dua anggota keselamatan itu diusung oleh polis dan dimasukkan ke dalam sebuah trak polis untuk dibawa ke Hospital Lahad Datu.

"Sehingga kini tiada pengesahan polis, kami hanya melihat mayat dengan boot hijau diusung ke dalam trak tersebut," katanya yang terpaksa keluar dari kawasan Felda itu setelah diarahkan pihak berkuasa.




Pada 2 petang, beliau berkata pihak berkuasa mengarahkan wartawan keluar kerana khuatir keselamatan mereka berikutan insiden tembakan masih berlaku.

Setakat ini, tiada pihak berkuasa boleh mengesahkan identiti anggota yang maut.

Sementara itu, Seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.

ABS-CBNnews melaporkan jurucakap Abraham Idjirani sebagai berkata dia baru bercakap sendiri dengan adik Sultan Sulu Jamalul Kiram - Azzimudie Kiram - yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu.

Azzimudie mengesahkan bahawa 10 lelaki terbunuh dan empat yang lain cedera dalam insiden tersebut.

"Dia melihat sendiri mayat-mayat tersebut," kata Idjirani dalam satu sidang akhbar di Manila.


"Yang terbunuh termasuk seorang wanita."

Idjirani merayu kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan serangan itu, dan berkata orang-orang Azzimudie hanya bersenjatakan bolos (parang) dan pisau dan hanya beberapa orang bersenjatakan senapang.

Beliau mendakwa bahawa komando polis Malaysia telah menggunakan penembak tepat ke atas pengikut Azzimudie.

AKhbar berbahasa Cina, China Press pula memetik sumber yang tidak disahkan di tempat kejadian, yang mendakwa dua penceroboh telah ditembak mati, manakala tiga anggota tentera Malaysia cedera.

Bagaimanapun, ABS-CBNnews melaporkan bahawa Duta Malaysia ke Filipina telah mengesahkan berlaku insiden menembak antara kedua-dua pihak tetapi tiada sebarang kematian.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) Raul Hernandez memberitahu agensi berita bahawa Setiausaha Luar Filipina Albert del Rosario baru sahaja berbincang dengan duta Malaysia, yang mengesahkan berlaku insiden menembak di Lahad Datu tetapi ia sudah dihentikan.

Beliau berkata Manila sedang memantau keadaan.

Sumber: Terengganu Today dan Bernama

1 comment:

  1. Pengganas lanun dah ditembak, syukur pasukan keselamatan kita berjaya mematahkan usaha awal tentera upahan untuk mencetuskan Arab Spring.

    Anwar Ibrahim what say you, your bandits have been killed?

    ReplyDelete