Monday 18 March 2013

Terkini Lahad Datu:Kiram tarik balik gencatan senjata, arah pengikutnya terus berperang



Kiram (kanan) berkata bahawa penarikan balik tenteranya bukan suatu pilihan. - Gambar Reuters

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Jamalul Kiram III yang mengakui dirinya Sultan Sulu telah menarik balik gencatan senjata bagi pihaknya dan mengarahkan pengikutnya di Sabah menjalankan perang gerila keatas pasukan keselamatan Malaysia, menurut laporan media Filipina.

The Philippine Star memetik Sultan Sulu tersebut berkata bahawa penarikan balik tenteranya yang diketuai oleh adiknya Agbimuddin di Sabah bukan suatu pilihan.

“Mereka sudahpun berada di tanahair mereka, mengapa perlu pulang semula?” kata Kiram kepada wartawan di kediamannya di Bandar Taguig.

Abraham Idjirani yang merupakan jurucakap kesultanan berkata penentangan di Sabah akan diteruskan.

Beliau berkata arahan gencatan senjatan yang ditawarkan oleh kesultanan telah ditarik balik dan tentera sultan telah diarahkan untuk menjalankan operasi “serang dan lari” keatas Malaysia.

Jamalul juga mengakui adiknya tersebut masih lagi di Sabah berbeza dengan laporan daripada pihak berkuasa Malaysia yang mengatakan Agbimuddin telah melarikan diri ke Selatan Filipina.

Idjirani dilaporkan telah bercakap dengan Agbimuddin malam Sabtu dan diberitahu bahawa kumpulan mereka masih kuat.

Menurut akhbar Filipina, Idjirani berkata pengikut kesultanan yang berjumlah 170 orang berpecah kepada tiga kumpulan untuk mengelak daripada dijejaki pesawat pengintip Malaysia yang berlegar-legar di udara sekitar Lahad Datu.

Namun, Philippine Star melaporkan Agbimuddin telah kembali ke wilayah asalnya di Sulu bersama-sama dengan pengiring, termasuk beberapa individu daripada Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), ia menurut sumber daripada pegawai keselamatan yang dirahsiakan.

Menurut akhbar itu lagi, pegawai keselamatan tersebut berkata Agbimuddin mungkin telah melepaskan diri dari Lahad Datu semasa perjalanan ke Sandakan dan menyusup sama ada ke Sibutu atau Sitangkai.

"Ia mugkin orang lain yang mereka sekat, kemungkinan umpan atau untuk mengalih perhatian bagi memberikan mereka laluan masuk," kata sumber tersebut yang merujuk kepada penahanan oleh Tentera Laut Filipina minggu lepas.

Pihak berkuasa Filipina telah memintas dua bot membawa 35 pengikut Sulu bersenjata berhampiran di Kepulauan Taganak dan menempatkan mereka di pengkalan tentera laut di Bato-bato, Panglima Sugala.

Agensi berita negara melaporkan pasukan keselamatan Malaysia baru-baru ini telah dua kali bertempur dengan penceroboh bersenjata Sulu pagi semalam, 36 hari selepas 200 pengikut Sulu yang diketuai Agbimuddin mendarat di Tanduo, yang mendakwa diri mereka Tentera Diraja Kesultanan Sulu.

Pasukan keselamatan telah hilang 10 anggota - lapan anggota polis dan dua tentera.

Seorang remaja yang tidak dikenali juga telah ditembak mati pada hari keenam Ops Daulat.

Pertempuran bersenjata semalam memecah tempoh aman selama lima hari sepanjang pasukan keselamatan memburu baki penceroboh Sulu dalam operasi Ops Daulat yang semakin berakhir.

Semalam Bernama melaporkan, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata anggota keluarga Jamalul Kiram antara 104 orang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau berkata operasi membanteras pengganas tidak hanya tertumpu kepada keluarga Jamalul Kiram, yang didakwa dalang insiden pencerobohan di Sabah sejak 12 Feb lepas, kerana polis turut menjejaki kaum keluarga anggota militan lain yang dipercayai terlibat insiden pencerobohan itu.

Malaysia melancarkan Ops Daulat tiga minggu selepas kira-kira 200 lelaki bersenjata mendarat pada 9 Februari, memulakan serangan dengan pengeboman udara dan tembakan meriam berat sebelum menghantar tentera darat untuk menjalan operasi pembersihan dikawasan perkampungan dimana Agbimuddin dan pengikutnya bersembunyi.

Namun, Agbimuddin dan pengikutnya berjaya menyusup keluar dan dipercayai menerima bantuan daripada penduduk tempatan sekitar, malahan terdapat antaranya yang ditahan untuk disoal siasat.

Kaum keluarganya di Filipina juga mendakwa dalam media bahawaAgbimuddin telah menghubungi mereka beberapa kali sepanjang minggu lalu untuk memberitahu mereka masih selamat.

Khamis lepas, puak Kiram menawarkan gencatan senjata tetapi enggan mengeluarkan tentera mereka dari Lahad Datu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menolak permintaan itu, mengarahkan kumpulan bersenjata menyerah diri tanpa syarat dan atau berhadapan dengan kematian.




Baca Artikel Menarik Dibawah:



















No comments:

Post a Comment