Wednesday 20 March 2013

'Saya sanggup gadai nyawa demi negara' - Mohamad Qaiyum Aiqal

KONSTABEL Mohammad Qaiyum Aiqal Zolkifli, salah seorang anggota komando VAT 69 yang tercedera dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada 1 Mac disambut meriah oleh penduduk kampung setiba di rumahnya di Kampung Bukit Kelicap, Batu Pahat hari ini. Turut kelihatan Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat (baju merah). - BERNAMA

BATU PAHAT 20 Mac - "Walaupun dihujani dengan beribu-ribu butir peluru dan nyawa kami terancam ketika itu, namun demi tugas dan kedaulatan negara kami teruskan bertempur."

Demikian diungkapkan Konstabel Mohammad Qaiyum Aiqal Zolkifli, 22, anggota komando VAT 69 yang cedera ketika pertempuran menentang pengganas Sulu di Ladang Tandou, Lahad Datu, Sabah pada 1 Mac lepas.

"Pada saya nyawa tidak penting, yang penting bagi kami pengganas Sulu yang menceroboh negara kita dihapuskan," katanya lagi.

Mohammad Qaiyum Aiqal yang ditemui di majlis menyambut kepulangannya di rumah keluarganya di Kampung Bukit Kelicap, Senggarang ternyata masih trauma dan sebak apabila diminta menceritakan kembali detik peristiwa berdarah itu yang turut mengorbankan dua rakan sepasukannya.

Beliau tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir apabila mengenang dua rakan sepasukannya yang terkorban dalam pertempuran itu.

Mengimbas kembali kejadian, anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata beliau terjatuh sebaik terkena tembakan di bahu kanan.

"Walaupun telah cedera dan terjatuh, pihak musuh masih tetap menembak ke arah saya termasuk menggunakan senjata berat. Nasib baik ketika itu, seorang rakan iaitu Koperal Hairi menarik saya ke belakang sebatang pokok kelapa sawit untuk berlindung," katanya.

Ketika itu beliau hanya berserah kepada Allah SWT dan reda jika umurnya tidak panjang, namun beliau bersyukur kerana Tuhan masih mengizinkannya untuk terus hidup.

Ekoran tembakan peluru musuh yang menembusi dadanya, tiga tulang bahunya patah dan beliau dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dan kemudiannya Hospital Sandakan sebelum dibawa ke Hospital Tentera di Lumut, Perak, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ditanya sama beliau serik dengan kejadian itu, dengan penuh bersemangat Mohammad Qaiyyum Aiqal berkata perkataan serik dan putus asa tidak ada dalam dirinya.

"Selagi saya bernyawa dan selagi saya boleh melangkah, saya akan terus mempertahankan kedaulatan negara.

"Apabila saya sembuh dan jika diizinkan saya akan kembali ke Lahad Datu demi memastikan keamanan negara pulih seperti sediakala," katanya.

Dalam kejadian pada 1 Mac lepas, dua anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban, manakala 12 penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina maut dalam kejadian tembakan membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo.

Dua anggota komando VAT 69 yang terbunuh dalam pertempuran itu ialah ASP Zulkifli Mamat dari Besut, Terengganu dan Sarjan Sabaruddin Daud dari Sabak Bernam, Selangor.

Selain Mohammad Qaiyum Aiqal, dua lagi anggota yang cedera ialah Koperal Azman Ampong dan Koperal Mohd Tarmizi Hashim.

Sementara itu lebih 500 penduduk Kampung Kelicap dan kawasan sekitar berkumpul di rumah Mohammad Qaiyum Aiqal sejak pukul 2 petang sebaik mengetahui beliau akan pulang ke rumah.

Mereka sabar menanti sehingga pukul 6.30 petang dan ramai di kalangan penduduk kelihatan mengalirkan air mata apabila melihat kecederaan yang dialaminya.

Turut menyambut wira negara itu ialah Anggota Parlimen Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi dan Anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad yang menyampaikan sumbangan kepada beliau. - BERNAMA



Baca Artikel Menarik Dibawah:

































No comments:

Post a Comment