Wednesday 20 March 2013

LAHAD DATU: PENGALAMAN NGERI KETUA KAMPUNG SIMUNUL


PERISTIWA enam pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia dibunuh dan diseksa di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac lalu tidak mungkin dapat dilupakan oleh seluruh rakyat di negara ini.

Dalam kejadian itu, tiga pengganas militan Sulu juga berjaya ditembak mati. Namun, disebabkan faktor keselamatan, tiga mayat pengganas tersebut tidak dapat dikeluarkan dalam insiden tersebut.


Memandangkan ia terbiar agak lama, mayat-mayat ketiga-tiga pengganas itu mula membusuk hingga meresahkan penduduk di kampung berkenaan.
Perkara tersebut kemudian disampaikan kepada Ketua kampung, Ramlee Saraman (gambar sisipan di atas).

Walaupun marah dengan pengganas yang terbunuh itu, namun Ramlee sedar sebagai orang Islam, mayat itu harus disempurnakan seperti yang dituntut syarak.


"Memang saya marah dengan yang mati itu, tetapi saya kena rasional dan tak boleh terikut-ikut dengan emosi…yang mati itu seagama dengan saya, saya tak boleh biarkan ia terus di situ, mayat mereka mesti diuruskan, bab dosa dan pahala mereka adalah urusan Allah.


"Lagipun saya faham benar keluh resah penduduk, bayangkan anak-anak mereka menggunakan laluan yang sama untuk ke sekolah, trauma mereka jadinya nanti.

”Bab bau jangan ceritalah, bukan seorang, tetapi tiga!,” katanya

Ramlee bersyukur kerana pihak keselamatan memahami keresahan beliau dan penduduk kampung.
Malah, katanya, Ketua Polis Daerah sendiri bersedia menawarkan perlindungan keselamatan kepada beliau dan penduduk kampung sekiranya mereka mengambil keputusan untuk menguruskan mayat-mayat itu.


Menurut Ramlee, beliau kemudiannya bermesyuarat dengan penduduk kampung terutama pihak surau untuk mengangkat mayat-mayat itu dari lokasi kejadian.

Tetapi, katanya, seperti mana pasukan keselamatan, beliau dan penduduk kampung juga merasai kebimbangan yang sama, terutama memikirkan ‘perangkap’ yang mungkin dibuat oleh pengganas-pengganas Sulu yang lain ketika kerja mengangkat mayat itu dilakukan.


Apatah lagi, katanya, bila mengenangkan kemungkinan ada ‘pengkhianat’ di situ yang mungkin hendak membalas dendam terhadap kematian rakan-rakan mereka.

”Saya akhirnya nekad, dengan airmata yang berlinang, saya merayu kepada mereka yang ada di situ agar memberikan kerjasama dan tidak melakukan apa-apa kepada kami yang hendak mengangkat mayat yang terbujur kaku itu.

”Saya kata pada mereka, sebagai orang Islam, adalah menjadi tuntutan kita semua untuk menyelesaikan urusan kematian pengganas-pengganas Sulu ini, kita tidak boleh membiarkan kehadiran mayat-mayat itu menganggu kehidupan kita di kampung ini, ” katanya.



Ketika diminta menceritakan proses mengeluarkan mayat-mayat itu, Ramlee berkata, hanya Allah yang tahu betapa sukarnya mereka untuk berbuat demikian.

Menurutnya, kerja-kerja itu mungkin nampak mudah tetapi keadaan mayat yang mula membusuk telah merumitkan keadaan.

Tambahnya, mereka bimbang sekiranya ia tidak dilakukan secara berhati-hati, akan ada anggota tubuh pengganas ini yang akan ‘lerai’ kerana ia sudah membengkak.


”Selepas mayat itu kami angkat, kami letakkannya di simpang jalan…lalu saya hubungi pihak berkuasa yang kemudiannya membawa mayat-mayat itu ke hospital.

”Saya sempat melihat wajah-wajah mereka, ternyata ia bukan penduduk kampung ini, malah tiada siapa pun mengenali mereka kecuali mayat yang dalam sampan itu, ada penduduk mendakwa pernah melihat dia solat Jumaat di kawasan berhampiran, entah betul entahkan tidak,” katanya.

Dalam pertemuan kami itu, Ramlee turut meminta semua pihak agar tidak terus melabelkan kampungnya sebagai ‘kawasan hitam’ hanya kerana berlakunya insiden tersebut.

Katanya, beliau sedih kerana banyak pihak mula melabelkan kampung mereka sebagai sarang pengganas dan sebagainya.


Jelasnya, insiden tersebut adalah satu perbuatan yang tidak dapat dimaafkan tetapi tidak adil untuk menghukum semua yang ada di situ.

”Kampung ini banyak sejarahnya, ia telah mula dibuka sejak tahun 1939 dan sejak itu, kami semua hidup dalam aman dan harmoni.

”Benar, ada penduduk yang datang secara haram tetapi perkara begini bukan hanya berlaku di kampung ini…tetapi apa boleh buat, hidup mesti diteruskan.

”Mengenai pandangan banyak pihak yang mahu kampung kami dirobohkan, saya harap kalau ia benar-benar dilaksanakan, kebajikan penghuni perlu diambil kira, kami ini kebanyakannya nelayan, sebab itu rumah kami dibuat di tepi laut…kalau ia dibuat di lokasi yang terlalu jauh, ia sudah tentu menyukarkan keadaan,” jelasnya.



Baca Artikel Menarik Dibawah:


































No comments:

Post a Comment