Sunday 3 March 2013

INFO TERKINI:KOMANDO POLIS TERUS BURU KUMPULAN MILITAN DI SEMPORNA SABAH


LAHAD DATU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan lima anggota polis terbunuh dalam kejadian tembakan di Semporna pada Sabtu malam. Selain itu menurut Ismail dua penjenayah turut ditembak mati ketika serbuan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di sini pada Ahad, Ismail berkata selain memantau kumpulan penjenayah di Semporna, polis juga turut memburu satu lagi kumpulan bersenjata di Kunak, iaitu kira-kira 70km dari Semporna.

Tambah Ismail, polis turut menahan tiga penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo, semalam ketika cuba keluar daripada kepungan pihak berkuasa.

Katanya lagi, penceroboh di Semporna dan Kunak berpakaian seragam tentera.

MATI.....Salah seorang militan yang berjaya ditembak mati di Semporna, manakala kawalan ketat di Semporna bagi memburu saki baki kumpulan militan yang menyerang hendap pasukan polis semalam

Sementara itu Bernama melaporkan bahawa kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugas untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan polis mendapat maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu.

Ismail berkata anggota polis itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

Menurut Ismail lagi, polis juga sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata itu mempunyai kaitan dengan lebih 150 orang kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Semporna.

TEMBAKAN.....Pemandangan kawasan perkampungan air Simunul, Sabah iaitu lokasi tembakan yang mengakibatkan lima anggota polis terkorban dalam kejadian pada Sabtu.


Bagaimanapun Ismail berkata identiti pegawai dan anggota polis yang terkorban di Semporna itu akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Ismail berkata polis mengesan sekumpulan 10 lelaki dengan tiga daripada mereka bersenjata api di Kampung Lomalong dan Kampung Dasar Lama, Kunak, kira-kira 60 km dari sini, pada pukul 10 malam Sabtu.

“Sehingga kini polis sedang menjejaki pergerakan dan tujuan kumpulan itu,” katanya.


LAWATAN.....Pergerakan Pemuda UMNO Semporna sedang menuju ke rumah penduduk yang hampir dijadikan tebusan.

Sementara itu seorang penduduk telah memukul dan menetak militan  yang bersenjata M16 sehingga mati  ketika seorang militan yang cuba menjadikan mereka tebusan  di Kampung Senallang Lama, Semporna.

No comments:

Post a Comment