Saturday 9 March 2013

Terkini Lahad Datu: Keadaan Selamat Walau Letupan Kedengaran


LAHAD DATU: Keadaan di Felda Sahabat adalah terkawal biarpun bunyi beberapa siri letupan bom dilepaskan di kawasan zon merah dalam Op Daulat selepas 24 jam tiada pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan Sulu yang menjadikan Kampung Tanduo dan Tanjung Batu, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu, sebagai kubu sejak 12 Februari lalu.

Malah di bandar Lahad Datu dan bandar Semporna, yang terletak 150 kilometer dari sini, adalah terkawal dan tenang dengan aktiviti masyarakat serta premis perniagaan berjalan seperti biasa.

Di Felda Sahabat 16, kedengaran beberapa bunyi dentuman bom yang datang dari kawasan zon merah Op Daulat pada 1 pagi dan 7.30 pagi.

Selain itu pada pagi ini turut kedengaran pesawat helikopter berlegaran di ruang udara Felda Sahabat.

Namun bagi penduduk Felda, Norashikin Sarbani, 33, berkata mendengar bunyi letupan itu membuatkan hatinya berdebar tetapi yakin ia bunyi letupan daripada pasukan keselamatan.

"Kami di sini rasa lebih selamat kerana kehadiran pasukan keselamatan yang ramai. Kami sudah tidak takut," katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meninjau markas Op Daulat di Felda Sahabat, Khamis lalu berkata Malaysia menolak sebarang tawaran gencatan senjata dan menegaskan satu-satunya pilihan bagi penceroboh itu ialah letak senjata dan serah diri tanpa bersyarat.

Gerakan Op Daulat yang memasuki hari kelima hari ini mengesahkan 52 penceroboh militan terbunuh.

Sejak pencerobohan itu juga seramai lapan anggota polis terkorban iaitu dua wira terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna pada 2 Mac.

Malahan bagi peneroka Mujhi Bakrun, 39, beliau kini tidak perlu risau kerana kesungguhan kerajaan untuk menghapuskan kumpulan penceroboh militan itu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bersungguh untuk jaga keselamatan rakyat di Sabah," katanya.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka tiba di Felda Sahabat pada 10 pagi ini untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada 1,800 penduduk kampung yang berpindah dari zon merah serta ditempatkan di Dewan Cenderawasih, Dewan Embara Budi dan Dewan Fajar Harapan dekat sini.


No comments:

Post a Comment