Thursday, 7 March 2013

UPDATE: PM Tolak Gencatan Senjata Di Sabah, Gesa Serah Diri Tanpa Syarat




KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Kuala Lumpur tidak akan menimbang sebarang permintaan gencatan senjata selagi kumpulan penceroboh militan tidak meletak senjata tanpa syarat.

Najib, yang melawat Sabah selepas tiga hari pasukan keselamatan melancarkan serangan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, berkata presiden Filipina Benigno Aquino III telah menghubungi beliau untuk mendapatkan reaksi Malaysia berhubung kenyataan Jamalul Kiram III mengenai gencatan senjata.

"Saya bagi tahu Presiden Aquino bahawa mereka perlu letak senjata tanpa syarat dan senjata itu perlu diserah kepada kita," katanya pada sidang akhbar di Felda Sahabat 16, di Lahad Datu hari ini.

Laporan media dari Filipina hari ini memetik Kiram meminta pihaknya meletak senjata di Lahad Datu selepas beberapa anggota kumpulannya terbunuh dalam gerakan ofensif pasukan keselamatan Malaysia pada Selasa.

Terdahulu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon menyeru agar 'keganasan' di Sabah, dihentikan dan mencadangkan agar pihak terlibat mencari penyelesaian secara aman terhadap apa yang berlaku.

Najib yang melahirkan rasa puas hati dengan keberhasilan operasi bersama yang dilancarkan oleh polis dan tentera itu, berkata pasukan keselamatan negara mencapai banyak kejayaan untuk menumpaskan kumpulan penceroboh militan yang memasuki negara ini 12 Februari.

"Kerjasama yang sangat erat antara polis dan tentera dengan menggunakan kepakaran dan kekuatan masing-masing dalam satu operasi bersepadu adalah satu modul yang sangat baik untuk kita ambil langkah-langkah banteras dan tindakan tegas terhadap kumpulan itu," katanya.

Perdana menteri juga melahirkan penghargaan kerajaan terhadap kerjasama polis dan tentera dalam menjayakan operasi itu.

Najib turut menegaskan jangan sesiapa cuba memandang ringan iltizam kerajaan menegakkan prinsip bahawa Sabah adalah sebahagian dari Malaysia buat selama-lamanya.

"Ini tidak boleh dipersoal sesiapa baik dari dalam atau luar negara. Kita akan pertahan prinsip, hakikat dan kebenaran secara mutlak dengan sepenuh kekuatan yang kita ada," katanya.

No comments:

Post a Comment