Monday 11 March 2013

Terkini Lahad Datu: Pengganas Terus Digempur, Tiada Tanda Letak Senjata



Op Daulat yang memasuki hari keenam pada Ahad menyaksikan kumpulan pengganas dari selatan Filipina terus digempur kerana tiada tanda mereka mahu menyerah diri sejak menceroboh Sabah 26 hari lepas.

Kumpulan penceroboh sebaliknya bertindak agresif sehingga menyebabkan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera dalam insiden berbalas tembakan yang berlarutan selama lapan jam di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu malam Sabtu.

Tindakan itu mendapat reaksi segera Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib yang menyifatkan kumpulan pengganas itu tidak berhasrat menyerah diri atau melakukan gencatan senjata seperti yang dilaporkan media Filipina.

Susulan itu, pasukan keselamatan membabitkan polis dan angkatan tentera yang membentuk Op Daulat meneruskan operasi menjejak pengganas, dengan orang ramai sekali lagi diingatkan supaya tidak menghampiri kawasan Zon Merah yang ditetapkan sejak gerakan ofensif dimulakan Selasa lepas.



Ketika pasukan keselamatan agresif menjejaki musuh, seorang remaja lelaki berusia antara 12 dan 15 tahun maut terkena tembakan pasukan keselamatan pagi ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian secara tiba-tiba itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang memeriksa dua lelaki dan tiga wanita di Kampung Sungai Bilis sebelum terdengar bunyi pergerakan dari belukar berhampiran.

"Berikutan itu, pasukan keselamatan secara spontan telah melepaskan tembakan ke arah belukar tersebut," katanya pada sidang media pada 4.40 petang.

Ismail berkata operasi agresif pasukan keselamatan juga membawa kepada penahanan 96 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Sulu yang menceroboh Lahad Datu sejak 12 Februari lepas.



Turut ditahan adalah 66 yang lain kerana memasuki zon larangan dalam kawasan Op Daulat yang dilancarkan pada Selasa.

Gerakan ofensif juga kini dilebarkan ke kawasan baharu di Kampung Tanjung Batu selepas pasukan keselamatan menumpukan kepada operasi membersih dan menggeledah di Kampung Tanduo, kira-kira lima kilometer dari kampung itu.

Sementara itu di Semporna, polis daerah itu menahan empat individu yang merupakan suspek penceroboh.



Mereka merupakan sebahagian daripada 33 orang yang ditahan dalam operasi selama dua jam di Kampung Pinggir Bakau kerana dipercayai melindungi dan terlibat secara langsung dengan pengganas Sulu selain disyaki menyalurkan maklumat keselamatan kepada musuh.

Hari keenam Op Daulat juga menyaksikan sekumpulan wartawan dan jurugambar terserempak dengan anggota militan bersenjata ketika membuat tinjauan di Kampung Tanjung Labian, kira-kira 20 kilometer dari pusat media di Residental Felda Sahabat.

Sosok lelaki berpakaian serba hitam sambil memegang senjata itu dilihat berdiri berhampiran sebatang pohon kelapa sawit, kira-kira enam meter dari kedudukan mereka.

Bagaimanapun kesemua mereka tidak diapa-apakan.

Penduduk kampung itu juga dilihat tergesa-gesa meninggalkan kediaman masing-masing kerana bimbangkan keselamatan selepas mereka terdengar bunyi tembakan dilepaskan dalam kawasan kampung berkenaan.



Pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh militan dari Sulu pada 5 Mac.

Sepanjang konflik yang bermula 12 Februari itu seramai lapan anggota polis terkorban dan 53 musuh ditembak mati.


-Terengganu Today



Artikel Berkaitan


-LAHAD DATU 18 SG: PENGGANAS SULU BUNUH POLIS DENGAN KEJAM(dikemaskini dgn video Nurul Izzah Perlekeh Polis)


-Terkini Op Daulat: 85 Orang Di Tahan Bantu Siasatan Pengganas Sulu

No comments:

Post a Comment